Kuala Lumpur: Kawasan seluas 8,537 ekar di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berpotensi menjadi tumpuan pelaburan baharu dalam sektor penerbangan, logistik, perhotelan dan pusat data dalam tempoh sedekad akan datang.

Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, kawasan dikenali sebagai KLIA Aeropolis yang lebih besar daripada saiz Cyberjaya itu mempunyai kelebihan dari segi keluasan tanah, kedudukan strategik berhampiran lapangan terbang dan potensi pembangunan infrastruktur tenaga mampan.

Beliau berkata, pembangunan kawasan berkenaan dijangka lebih tertumpu kepada aktiviti komersial dan perindustrian berbanding perumahan berskala besar, mengambil kira keperluan operasi penerbangan serta zon keselamatan lapangan terbang.