Kuala Lumpur: Pengguna perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal menikmati diskaun sebanyak 30 peratus untuk tiket kelas ekonomi selama sebulan bermula 12 Disember ini, sempena pembukaan perkhidmatan rel berkenaan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, diskaun itu diberikan kepada orang ramai yang tidak menikmati kadar konsesi, manakala golongan orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan pelajar kekal menerima diskaun 50 peratus.

Menurutnya, langkah itu bertujuan memberi peluang kepada orang ramai menikmati perkhidmatan ECRL pada kadar lebih rendah sepanjang bulan pertama operasinya.

"ECRL dijangka memulakan perkhidmatan pada 12 Disember ini. Jadi kita akan memulakan penjualan tiket tidak lama lagi dan bagi bulan pertama ini, orang ramai akan menikmati diskaun 30 peratus," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Transport Expo Asia (TXA), di sini, hari ini.