KUALA LUMPUR: Selepas mencetuskan fenomena menerusi filem Jailer pada 2023, superstar Tamil, Rajinikanth, kembali menghangatkan layar perak menerusi sekuel dinanti-nantikan, Jailer 2, yang kini ditayangkan di pawagam tempatan.
Filem aksi arahan Nelson Dilipkumar dan terbitan Kalanithi Maran di bawah syarikat Sun Pictures itu menandakan kemunculan ke-172 Rajinikanth sebagai pelakon filem, sekali gus menambah satu lagi pencapaian dalam perjalanan seni yang menjangkau lebih lima dekad.
Menggabungkan aksi berintensiti tinggi, humor bersahaja dan babak mendebarkan, Jailer 2 menawarkan pengalaman tontonan yang pantas serta menghiburkan, selain menampilkan beberapa kemunculan istimewa yang dijangka menarik perhatian penonton.








