SHAH ALAM: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bakal mewujudkan 'Universiti Air' pertama di Malaysia menerusi kerjasama strategik dengan Universiti Selangor (UNISEL) dan Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) bagi melahirkan tenaga kerja mahir dalam industri perkhidmatan bekalan air negara.

Inisiatif berkenaan bertujuan membangunkan ekosistem pendidikan dan latihan industri yang lebih bersepadu, sekali gus memperkukuh pembangunan modal insan serta meningkatkan kecekapan tenaga kerja dalam sektor bekalan air.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali, berkata pembangunan model Universiti Air itu akan menjadi platform penting dalam melahirkan tenaga kerja yang kompeten, produktif dan bersedia menghadapi cabaran operasi industri air yang semakin kompleks.