KEPUTUSAN Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) pada 20 Oktober, hanya 11 hari sebelum penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, mencetuskan persoalan tentang kewajaran kuasa penguatkuasaan digunakan ketika pilihan raya semakin hampir.RoS mendakwa bahawa penjelasan PN tidak memadai untuk menyangkal pelanggaran perlembagaan gabungan itu, susulan aduan Bersatu mengenai Mesyuarat Majlis Tertinggi pada 16 Julai.Namun begitu, keputusan pentadbiran tersebut masih boleh dicabar di mahkamah. Ia bukanlah penghakiman muktamad bahawa segala dakwaan Bersatu telah terbukti.Takiyuddin betul: Mengapa tidak tunggu dua hari?Kenyataan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, wajar disokong kerana ia menyentuh persoalan asas mengenai kedaulatan undang-undang.Beliau mempersoalkan mengapa RoS membatalkan pendaftaran PN pada 20 Oktober sedangkan Mahkamah Tinggi dijadualkan mendengar permohonan penangguhan penggantungan pada 22 Oktober.Lebih membimbangkan, menurut Takiyuddin, PN telah mengutus surat pada 14 Oktober supaya sebarang tindakan lanjut ditangguhkan sementara menunggu pendengaran tersebut, tetapi permintaan itu tidak dijawab.Beliau turut menyatakan bahawa hujahan Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 19 Oktober masih merujuk kepada proses pembatalan yang sedang berjalan.Kritikannya bukanlah tuntutan supaya PN kebal daripada undang-undang. Sebaliknya, ia menuntut penghormatan terhadap proses kehakiman serta penjelasan mengapa tindakan tersebut begitu mendesak sehingga tempoh dua hari pun tidak dapat ditunggu.Kuasa RoS memang wujud, tetapi kewujudan kuasa itu tidak menutup persoalan tentang masa, ketelusan dan kewajaran pelaksanaannya.Apabila notis dikeluarkan pada hari pembubaran DUN Melaka diumumkan, penggantungan menyusul keesokan harinya, dan pembatalan pula berlaku menjelang penamaan calon, masyarakat berhak menuntut jawapan yang meyakinkan.Azmin jangan keliru antara keputusan RoS, penghakiman mahkamahKenyataan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, jauh lebih mengecewakan. Beliau mendakwa pembatalan PN 'membuktikan' bahawa kepimpinan Pas melanggar undang-undang dan menyifatkan isu mesyuarat tersebut sebagai kesalahan yang 'fatal'.Ini merupakan kesimpulan yang terlalu jauh. Walaupun RoS telah membuat keputusan pentadbiran berdasarkan penilaiannya, mahkamah masih mempunyai peranan untuk meneliti kesahan tindakan tersebut.Azmin boleh mempertahankan aduan Bersatu, tetapi beliau tidak wajar menjadikan keputusan yang belum diuji sepenuhnya di mahkamah sebagai sabitan mutlak terhadap Pas.Lebih menghairankan, beliau mendakwa bahawa aduan Bersatu dibuat untuk 'menyelamatkan Perikatan Nasional'.Penyelamatan apakah yang akhirnya membawa kepada pembatalan pendaftaran gabungan itu sendiri? Jika benar matlamatnya adalah untuk memulihkan tadbir urus, mengapa kenyataannya lebih sarat dengan kecaman terhadap Pas berbanding usaha menawarkan jalan penyatuan?Azmin turut menuduh Pas mengamalk