KUALA LUMPUR: Kerajaan terbuka meneliti cadangan peluasan Akta Antibuli 2026 (Akta 876) kepada golongan berusia lebih 18 tahun termasuk penuntut universiti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara tersebut perlu dibincangkan bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebelum dibawa kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan.

Beliau berkata, pendirian kementerian yang terlibat perlu diperoleh bagi membolehkan Kabinet mempertimbangkan sama ada skop berkenaan wajar diperluaskan kepada golongan itu.

Katanya, terdapat pelbagai perkara yang perlu dipertimbangkan dalam membincangkan kelompok umur berbeza termasuk tahap kesedaran mengenai hak masing-masing.