PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini, hari ini mengekalkan dua penghakiman Mahkamah Tinggi yang memerintahkan pereka fesyen, Datuk Jovian Mandagie, membayar balik RM10 juta kepada dua syarikat.

Ia selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Wong Kian Kheong dalam keputusan 2-1 menolak rayuan Jovian selaku perayu untuk mengetepikan penghakiman terus oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dibuat pada 2 dan 4 April 2024.

Rayuan itu membabitkan dua tuntutan berasingan masing-masing berjumlah RM5 juta yang dikemukakan Bina Pragmatik Sdn Bhd dan Cekap Air Sdn Bhd.

Kedua-dua syarikat mendakwa wang yang dipindahkan kepada Jovian itu adalah pinjaman persahabatan secara lisan yang perlu dibayar balik dalam tempoh 12 bulan.