Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan sedang melaksanakan siasatan menyeluruh terhadap sebuah syarikat susulan isu tular sembelihan ayam.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, selepas pemeriksaan mendapati premis berkenaan bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

"Siasatan menyeluruh sedang dijalankan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan syarikat bukan pemegang SPHM terkait isu ayam yang sedang tular," katanya.

Terdahulu, satu video tular sedang berlegar berhubung kandungan dimuat naik melalui platform media sosial Threads, yang meresahkan orang ramai khususnya umat Islam berikutan memaparkan penyembelihan ayam meragukan.