KLANG: Tiga beranak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan mendera seorang kanak-kanak lelaki sehingga mengakibatkan kecederaan fizikal pada tahun lalu.
Kesemua tertuduh, K Asha Nanthini, 37; adiknya, K Theveinthiran, 34; dan ibu mereka, P Sivadevi Apparamasamy, 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Nur Shafrida Hashim.
Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas, didakwa menganiayai mangsa berusia empat tahun bawah jagaan mereka itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, di sebuah rumah di Taman Sri Andalas di sini pada 5 November tahun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.









