KLANG – Tiga beranak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun sehingga mengalami kecederaan fizikal, November tahun lalu.
Ketiga-tiga tertuduh, K. Asha Nanthini, 37, adiknya, Theveinthiran, 34, dan ibu mereka, P. Sivadevi, 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Nur Shafrida Hashim.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa dengan niat bersama menganiaya kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ketika kejadian sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa yang berada di bawah pemeliharaan mereka
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Sri Andalas di sini, kira-kira pukul 3 petang pada 5 November tahun lalu.









