PETALING JAYA – Kualiti udara di Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Shah Alam terus membimbangkan apabila ketiga-tiga kawasan itu mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat sejak pagi tadi.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Batu Muda, Kuala Lumpur merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 173 setakat pukul 12 tengah hari ini.

Johan Setia di Selangor turut berada di kedua tertinggi dengan bacaan IPU 171, diikuti Petaling Jaya (169), Shah Alam (168) dan Cheras, Kuala Lumpur (167).

Sementara itu, di Nilai, Negeri Sembilan dan Bukit Rambai, Melaka masing-masing merekodkan bacaan IPU 165 tengah hari ini.