KUANTAN – Sepasang suami isteri yang baru lima bulan berumahtangga terpaksa ‘berbulan madu’ di dalam lokap selepas mereka ditahan kerana dipercayai menjadi ‘transporter’ dadah.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, kedua-dua suspek yang berusia antara 40 hingga 46 tahun ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang yang membuat serbuan ke sebuah rumah di sini pada 12 Oktober lalu.
“Dalam serbuan kira-kira pukul 11.30 malam itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah seberat 6.315 kilogram yang dianggarkan bernilai RM291,250.
“Antara dadah yang dirampas termasuk 2,170 gram cecair ganja, 1,905 gram heroin, 725 gram pil yaba dan 1,515 gram pil erimin-5,”katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat polis Kontinjen Pahang di sini hari ini.









