Kota Tinggi : Dua wanita masing-masing dijatuhi hukuman penjara lima hari dan didenda sebanyak RM3,000 atas tuduhan memalsukan dokumen sijil cuti sakit (MC) pada awal bulan ini.
Majistret Nur Najihah Hamidi menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Alia Mysarah Hairol, 23, dan Nurin Atiqah Kamalrudin, 22, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh tangkapan, manakala tambahan tiga hari penjara jika tertuduh gagal membayar denda terbabit.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua wanita itu didakwa bersama-sama memalsukan satu dokumen iaitu sijil cuti sakit secara fraud yang mana diketahui bahawa sijil cuti sakit itu adalah palsu.









