KOTA TINGGI: Dua wanita dipenjara lima hari beserta denda RM3,000 masing-masing selepas mereka mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan memalsukan dokumen sijil cuti sakit (MC), awal bulan ini.
Tertuduh, Alia Mysarah Hairol, 23, dan Nurin Atiqah Kamalrudin, 22, dijatuhkan hukuman itu selepas kedua-duanya mengaku bersalah dihadapan Majistret, Nur Najihah Hamidi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka secara bersama-sama telah memalsukan satu dokumen iaitu sijil cuti sakit yang mana diketahui bahawa sijil cuti sakit tersebut adalah palsu di sebuah kedai perkakas di Jalan Tun Sri Lanang, di sini pada 5 Oktober lalu.
Atas kesalahan itu, mereka didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara hingga dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.









