BALI: Malaysia dan Indonesia bersetuju mewujudkan kerjasama antara agensi di peringkat pelaksanaan bagi menangani isu keselamatan dalam talian kanak-kanak, dengan usaha turut dirancang untuk melibatkan Singapura dalam kerjasama itu.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata isu keselamatan dalam talian, khususnya melibatkan kanak-kanak adalah perkara penting yang memerlukan perhatian bersama negara-negara di rantau ini.
"Kita berusaha mengadakan pertemuan tiga pihak melibatkan Malaysia, Indonesia dan Singapura, insya-Allah pada Disember ini sekiranya kelapangan (waktu) mengizinkan," katanya kepada BERNAMA selepas pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya dari Indonesia, Meutya Hafid, di sini hari ini.








