PETALING JAYA: Hubungan Malaysia dan Mesir terus diperkukuh menerusi pemeteraian Perkongsian Strategik bagi memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah, lawatan negara Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi ke Malaysia mencerminkan persahabatan akrab yang terjalin sekian lama antara kedua-dua negara.

“Lawatan ini mencerminkan persahabatan akrab sekian lama antara Malaysia dan Mesir yang berlandaskan saling hormat, percaya dan bersefahaman.

“Pemeteraian Perkongsian Strategik dalam Lawatan Negara ini juga membuktikan komitmen kedua-dua negara ke arah kerjasama yang lebih erat dalam pelbagai bidang bagi manfaat bersama,” titah Seri Paduka Baginda.