Kuala Lumpur: Golongan berpendapatan pertengahan (M40) bakal menikmati penjimatan cukai pendapatan sehingga kira-kira RM1,520 setahun menerusi Belanjawan 2027, manakala individu berpendapatan bercukai melebihi RM1 juta perlu membayar cukai lebih tinggi susulan penyusunan semula struktur percukaian negara.
Langkah itu merangkumi kenaikan pelepasan cukai asas individu daripada RM9,000 kepada RM12,000, iaitu peningkatan RM3,000 buat kali pertama sejak 2010, selain pengurangan kadar cukai pendapatan sebanyak satu mata peratusan bagi kumpulan pendapatan bercukai tertentu, berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2027.
Ketua Cukai Deloitte Malaysia, Sim Kwang Gek, berkata peningkatan pelepasan asas individu yang kekal tidak berubah selama 16 tahun itu adalah langkah dialu-alukan kerana dapat membantu pembayar cukai mengekalkan lebih banyak pendapatan boleh guna ketika berdepan peningkatan kos sara hidup.








