BALI: Negara-negara ASEAN perlu bekerjasama melindungi kanak-kanak daripada ancaman dalam talian yang semakin meningkat, biarpun terdapat perbezaan dalam undang-undang mereka dan pendekatan terhadap keselamatan Internet, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, negara-negara di rantau ini berkongsi cabaran untuk memastikan Internet selamat dan perlu mengukuhkan kerjasama itu bagi menangani ancaman itu.

"Internet adalah baik. Internet boleh digunakan untuk tujuan yang baik. Namun, adakah kanak-kanak tahu cara menggunakannya dengan betul?" katanya dalam ucaptama pada Minggu Teknologi Bali 2026 anjuran Kementerian Komunikasi dan Digital Indonesia, hari ini.

Fahmi menekankan bahawa Malaysia mahu memastikan kanak-kanak berumur bawah 16 tahun tidak dapat membuka akaun media sosial, di samping mengaku pendekatan yang diambil mungkin berbeza antara Malaysia, Indonesia, Singapura dan negara ASEAN yang lain.