Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, pertemuan antara Malaysia, Indonesia dan Singapura, berhubung isu keselamatan dalam talian kanak-kanak dijangka Disember ini, jika ada kelapangan. (Gambar Bernama)BALI: Malaysia dan Indonesia bersetuju mewujudkan kerjasama antara agensi pada peringkat pelaksanaan bagi menangani isu keselamatan dalam talian kanak-kanak, dengan usaha turut dirancang untuk melibatkan Singapura dalam kerjasama itu.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, isu keselamatan dalam talian, khususnya melibatkan kanak-kanak, merupakan perkara penting yang memerlukan perhatian bersama negara-negara di rantau ini.
“Kita berusaha mengadakan pertemuan tiga pihak melibatkan Malaysia, Indonesia dan Singapura, insyaAllah pada Disember ini, sekiranya kelapangan (waktu) mengizinkan,” katanya selepas pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya dari Indonesia, Meutya Hafid, hari ini.








