PETALING JAYA: Malaysia dan Indonesia bersetuju mewujudkan kerjasama antara agensi pada peringkat pelaksanaan bagi menangani isu keselamatan dalam talian kanak-kanak.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keselamatan dalam talian khususnya melibatkan kanak-kanak merupakan isu penting yang memerlukan perhatian bersama negara-negara di rantau ini.

Katanya, usaha yang dimulakan Malaysia, Indonesia dan Singapura berpotensi menggalakkan penyertaan negara-negara ASEAN lain walaupun setiap negara mempunyai undang-undang dan pendekatan pelaksanaan yang berbeza.

“Kita bukan sekadar mempunyai dasar yang seiring, tetapi juga mungkin beberapa mekanisme yang hampir serupa, walaupun tidak semestinya sama sepenuhnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya dari Indonesia, Meutya Hafid di Bali hari ini.