JOHOR BAHRU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua merampas pelbagai aset, termasuk 88,460 liter diesel dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1.27 juta dalam operasi di sebuah premis logistik di Jalan Kuala Sawah, Rantau, Negeri Sembilan, semalam.

Rampasan menerusi Op Taring Landai pada jam 11.30 pagi itu membabitkan diesel bernilai RM457,338.20, dua lori serta beberapa tangki simpanan.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Noor Azman Jamal, berkata operasi itu dijalankan Unit Risik Marin (URM) Johor dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan, hasil maklumat awam.

Beliau berkata, pemeriksaan di premis itu menemukan diesel yang disimpan di dalam lori tangki, tangki jenis skid dan tangki jenis square.