​Rawang: Kegiatan sindiket menyeleweng 11,900 liter (l) diesel bersubsidi dengan menyalahgunakan kemudahan kad fleet (fleetcard) terbongkar dalam satu serbuan Ops Tiris 4.0 di sebuah stor haram di sini, hari ini.

​Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Muhamad Hanif Datuk Asa'ari berkata, serbuan dijalankan pihaknya pada 10.30 pagi tadi.

​"Stor tidak bernombor di Rawang itu diserbu , hasil daripada maklumat dan risikan serta pengesanan aktiviti disyaki penyelewengan diesel bersubsidi di kawasan berkenaan.

​"Dua lelaki warga tempatan berusia 29 dan 68 tahun, masing-masing dipercayai bertugas sebagai penjaga stor dan pemandu lori tangki, ditahan di lokasi serbuan," katanya dalam kenyataan, hari ini.