SUNGAI GOLOK (THAILAND): Cubaan seorang rakyat Malaysia menyeludup dadah dari bandar ini ke Kelantan terbongkar apabila dia ditahan polis Thailand bersama bahan terlarang itu malam tadi.

Suspek berusia 30-an itu ditahan kira-kira pukul 10.30 malam dalam pemeriksaan di sebuah hotel di sini, sebelum polis merampas 20 biji pil ekstasi, 760 biji pil psikotropik dan sembilan gram ketamin.

Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar Kelantan dan mendapatkan bekalan daripada sindiket di bandar ini.

Katanya, penahanan itu dilakukan selepas Bahagian Siasatan Narkotik Polis Wilayah 9 menerima maklumat mengenai suspek yang memandu sebuah kereta dipercayai membawa dadah.