Songkhla: Rakyat Malaysia yang memandu kenderaan sendiri ke Thailand dinasihatkan mendapatkan perlindungan insurans mencukupi, termasuk yang meliputi pampasan pihak ketiga sekiranya berlaku kemalangan jalan raya di negara itu.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata perlindungan itu penting terutama jika kemalangan didapati berpunca daripada pemandu warga Malaysia sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian, yang boleh melibatkan tuntutan pampasan dalam jumlah besar.

"Kebiasaannya selain hukuman kepada pesalah, terdapat juga elemen yang rakyat Malaysia perlu membayar ganti rugi kepada (mangsa) tercedera atau meninggal dunia akibat kemalangan tersebut.

"Wang pampasan atau ganti rugi ini bukan satu jumlah yang kecil. Oleh itu, kalau ada insurans mencukupi, insurans itu boleh menanggung juga wang pampasan," katanya.