Seremban: Penolong ketua jurulatih Sabah FC Alto Linus mengakui pasukannya berhadapan tekanan daripada Negeri Sembilan FC (NSFC) namun berjaya bertahan dengan baik sehingga ke penghujung perlawanan untuk mengikat kedudukan seri 1-1, dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam.

Linus ternyata berpuas hati dengan kutipan satu mata yang diperoleh oleh anak buahnya itu selepas Sabah FC dikecewakan DPMM dalam aksi pada 13 September lalu.

"Sebelum ini kami tewas kepada Brunei, jadi satu mata hari ini (semalam) tetap bermakna bagi kami kerana beraksi di tempat lawan.

"Tekanan jelas diberikan Negeri Sembilan namun kami berjaya bertahan dengan baik sehingga ke penghujung perlawanan sekali gus dapat mempertahankan satu mata yang diraih hari ini.