KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh AwanBiru Technology Bhd (Awantec), Awantec System Sdn Bhd, memperoleh kontrak Perancangan Sumber Perusahaan (ERP) bernilai RM8.68 juta daripada TH Plantations Bhd.

Awantec yang menyediakan penyelesaian pendigitalan teknologi dan bakat berkata, kontrak berkenaan meliputi pembekalan, pelaksanaan, konfigurasi, pengujian, latihan, pengoperasian, sokongan serta penyelenggaraan sistem ERP Sage X3 untuk TH Plantations dan anak syarikatnya.

"Kontrak itu bernilai RM8.68 juta dan berkuat kuasa selama 60 bulan, bermula 1 Oktober 2026 hingga 30 September 2031," katanya dalam satu kenyataan.

Awantec berkata, pelaksanaan sistem ERP itu akan merangkumi rangkaian operasi luas Kumpulan TH Plantations, termasuk pejabat korporat, ladang dan kilang kelapa sawit di seluruh negara.