KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Bhd (CIMB) sedang mempergiat usaha untuk menyahsenaraikan anak syarikat perbankannya di Indonesia, PT Bank CIMB Niaga Tbk (CIMB Niaga), dengan penswastaan dilihat antara pilihan paling strategik yang sedang dipertimbangkan.
Menurut CIMB Investment Bank Bhd (CIMB IB), kumpulan perbankan itu turut merancang mengadakan perbincangan dengan pihak pengawal selia Indonesia bagi meneliti langkah berkenaan.
Dalam nota penyelidikan hari ini, CIMB IB berkata, pertimbangan berkenaan didorong oleh pandangan CIMB bahawa saham CIMB Niaga masih dinilai rendah berbanding potensi sebenar perniagaannya, selain prospek pertumbuhan jangka panjang Indonesia yang kekal positif.
Katanya, keyakinan itu turut disokong kekuatan CIMB Niaga dalam pengurusan kekayaan, perbankan korporat, rangkaian perbankan serantau ASEAN, perkhidmatan kepada pelanggan berpendapatan sederhana tinggi serta perbankan Syariah.









