PASIR MAS: Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan anggota polis menggunakan parang hingga mangsa mengalami kecederaan parah di Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah, Sabtu lalu.

Muhammad Syahid Che Mat, 30, didakwa di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga denda atau sebat.

Lelaki itu didakwa mencederakan Koperal Mohd Afiq Amran menggunakan parang sehingga mendatangkan kecederaan parah, termasuk keretakan tulang di tepi jalan Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah, pada 1.35 tengah hari Sabtu lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aiysha Na'ilah Harizan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.