Kuala Lumpur: Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou meneruskan misi memburu gelaran di Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 apabila mara ke separuh akhir acara perseorangan lelaki SU5 selepas mengetepikan cabaran rakan senegara, Mohamad Faris Ahmad Azri, hari ini.
Liek Hou hanya memerlukan 27 minit untuk menewaskan Faris 21-12, 21-10 pada aksi suku akhir yang berlangsung di Gimnasium Ichinomiya, sekali gus mengatur pertemuan dengan wakil China, Li Mingpan di separuh akhir esok.
Mingpan terlebih dahulu mengesahkan kemaraan apabila menewaskan wakil India, Ruthick Ragupathi 21-19, 21-14 dalam tempoh 37 minit pada satu lagi aksi suku akhir.
Pertemuan dengan Mingpan dijangka menjadi ujian lebih getir buat Liek Hou yang perlu mempamerkan aksi terbaik bagi memastikan langkahnya ke final tidak tersekat.









