SEPANG: Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, kelihatan tenang sepanjang prosiding menghadapi dua pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis, di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Beliau yang memakai sepasang sut lengkap berwarna gelap, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.
"Mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan," katanya yang berdiri di luar kandang tertuduh ketika prosiding.
Bagi pertuduhan pertama, Mohd Shuhaily, 54, selaku orang kena saman (OKS), didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohamad Faiz Saman, 40, berhampiran Kaunter J, Aras 5, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) antara jam 1.27 hingga 1.35 tengah hari 28 September lalu.









