Kuala Lumpur: "Sebab dia nak hidup" Itu jawapan seorang ibu ketika ditanya mengapa anak perempuannya yang lumpuh dan terlantar memerlukan nafkah bulanan, sekali gus meruntun hati hakim Mahkamah Tinggi Alor Setar, Dr Mohammad Johan Lee.

Wanita itu bukan menuntut kemewahan, sebaliknya memerlukan wang bagi meneruskan kehidupan selepas menghidap penyakit saraf progresif yang menyebabkan dia tidak mampu berjalan, bercakap atau menguruskan diri sendiri.

Lebih memilukan, ketika dia memerlukan sokongan suami untuk menghadapi penderitaan itu, lelaki terbabit didapati melakukan keganasan rumah tangga, mengabaikan tanggungjawab dan meninggalkannya di sebuah rumah kebajikan sebelum meneruskan kehidupan bersama wanita lain.