SEMPORNA: Hidupan krustasea mikro ditemui di gua marin dasar laut di Pulau Sipadan dinamakan Sipadanomolgus dissimilis, sekali gus menandakan pengenalan spesies dan genera baharu julung kali ditemui.
Organisma daripada kumpulan kopepod itu berjaya dikumpul menggunakan perangkap cahaya di Turtle Tomb, gua marin tenggelam yang terkenal dalam kalangan penyelam antarabangsa.
Ketua Penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Azman Abdul Rahim, berkata penemuan berkenaan bukan sekadar mengenal pasti spesies baharu yang belum pernah direkodkan sebelum ini.
"Penyelidik sudah menubuhkan genera baharu sepenuhnya, iaitu Sipadanomolgus, memandangkan spesies ini memiliki gabungan ciri anatomi unik tidak tergolong dalam mana-mana genera sedia ada bagi familinya," katanya.









