PULAU TIOMAN: Sebanyak 62.75 kilogram (kg) sisa marin berjaya dikutip menerusi aktiviti pembersihan dasar laut di tiga lokasi sekitar Kampung Salang, baru-baru ini.
Aktiviti pada 17 Oktober lalu dalam Program Pemuliharaan Tioman 2026 membabitkan 10 penyelam yang menjalankan kerja pembersihan di Teluk Kador, Layang-Layang dan Salang House Reef bagi mengurangkan pencemaran sampah pepejal yang mengancam hidupan marin serta ekosistem terumbu karang.
Persatuan Penyelam Konservasi BEST Malaysia (BEST) dalam kenyataan berkata Layang-Layang merekodkan kutipan tertinggi sebanyak 31.8 kg melibatkan 195 barangan pada kedalaman maksimum 7.3 meter (m).
Di Teluk Kador, sebanyak 15.75 kg sisa marin membabitkan 27 barangan dikutip pada kedalaman maksimum 9.2m, manakala Salang House Reef mencatatkan kutipan 15.2 kg melibatkan lapan barangan pada kedalaman maksimum 6m.







