JOHOR BAHRU: Malaysia menamatkan aksi peringkat kumpulan Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 tahun Piala Sultan Johor (SOJC) dengan bergaya apabila memenangi semua perlawanan selepas membelasah Kanada 6-1 di Stadium Hoki Johor, di sini malam tadi.

Malaysia yang sudah mengesahkan tempat ke aksi final SOJC edisi-14 terlebih dahulu ketinggalan satu gol setelah Navdip Chandi menjaringkan gol padang seawal minit kelima permainan.

Anak buah Nor Saiful Zaini Nasiruddin tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila Hafiezuddin Mohd. Ali menjaringkan gol padang menewaskan penjaga gol, Morgan Garside pada minit ketujuh.

Sebelum tamat aksi suku pertama, T. Naaveennash Paniker meletakkan skuad hoki remaja kebangsaan di hadapan, juga menerusi gol padang.