Kuala Lumpur: Johor Darul Ta'zim (JDT) boleh dianggap sudah selangkah untuk berada di pentas akhir Piala FA selepas menewaskan DPMM FC 2-0 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, sebentar tadi.

Harimau Selatan yang turun tanpa bintang sensasi Arif Aiman Hanapi dalam kesebelasan utama menguji benteng pasukan tuan rumah menerusi beberapa gerakan sejak awal permainan.

Kegagalan pertahanan DPMM, Ebenezer Abban menampan bola dengan kemas pada minit ke-21 memberi peluang kepada mesin gol JDT, Bergson Da Silva untuk meletakkan Harimau Selatan di depan.

Pemain naturalisasi Harimau Malaya itu memiliki satu lagi peluang untuk menambah jaringan pada masa kecederaan babak pertama, namun sepakannya di depan pintu gol tinggi melepasi palang.