PETALING JAYA: Selangor FC tidak mahu mensia-siakan peluang memburu tikel final lebih awal ketika berdepan Kuching City FC dalam separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.

Kelebihan beraksi di laman sendiri dalam aksi pertama itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak buah Kim Pan Gon dan setiap peluang terhidang wajib disudahkan untuk mereka meraih bekalan selesa menjelang aksi timbal balik.

Pengendali Selangor, Kim Pan Gon menegaskan skuad kendaliannya telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi aksi separuh akhir menentang Kuching City FC.

Menurut Pan Gon, dia dan anak buahnya memiliki keazaman tinggi untuk mencapai sasaran ke final, selain mahu menghadiahkan persembahan terbaik kepada penyokong yang sentiasa memberikan sokongan kepada pasukan.