DOHA: Persiapan perlumbaan Formula Satu (F1) dan MotoGP di Qatar dilaporkan hampir selesai meskipun konflik yang semakin memuncak di Asia Barat terus menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan penganjuran kedua-dua acara itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Lusail, Abdulaziz Ali Al-Muhannadi, menegaskan persiapan bagi kedua-dua perlumbaan kini memasuki fasa akhir, sekali gus memberi isyarat bahawa penganjur masih meneruskan perancangan mengikut jadual ditetapkan.

MotoGP Qatar dijadual berlangsung pada 6 hingga 8 November ini selepas ditangguhkan daripada tarikh asal pada April susulan konflik di Iran.

Sementara itu, Grand Prix (GP) Qatar F1 akan berlangsung pada 27 hingga 29 November sebagai pusingan kedua terakhir musim ini sebelum saingan beralih ke Abu Dhabi.