PETALING JAYA: Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz, mengakui DPMM FC semakin menunjukkan ‘taring’, sekali gus bakal memberikan cabaran sukar menjelang aksi separuh akhir pertama Piala FA, hari ini.
Munoz sedar DPMM FC mempunyai keseimbangan dalam permainan selain mampu menyukarkan lawan menerusi pendekatan bertahan secara kompak sebelum melancarkan serangan balas yang pantas.
Malah, kemenangan 3-2 DPMM FC ke atas Kuching City FC dalam Liga Super minggu lalu turut memberikan gambaran bahawa pasukan itu bukan lawan yang boleh dipandang mudah dan sedikit kelalaian mampu menghukum juara bertahan Piala FA ini.
“Sekarang kita perlu mula memikirkan perlawanan seterusnya dan membuat persiapan. Kita tahu bahawa sekali lagi kita akan berdepan dengan pasukan yang sukar, terutamanya apabila kita bermain di tempat lawan.








