Kuala Lumpur : Penyanyi dan komposer, Haqiem Rusli mengumumkan dia kini bergerak secara bebas (independent) di bawah syarikat naungannya sendiri, Haqiem Rusli Entertainment selepas 10 tahun bernaung di bawah label FMC Music.
Haqiem, 28, ketika ditemui pada majlis pelancaran single baharunya, Katamu Sekejap berkata, keputusan itu diambil dalam masa agak lama, selain mahu mencuba pengalaman baharu dan diberi kebebasan berkarya secara lebih terbuka.
"Projek lagu Katamu Sekejap ini adalah projek pertama saya secara independent. Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada FMC Music kerana selama 10 tahun mereka menguruskan kerjaya dan membantu saya dari awal kemunculan sehinggalah ke hari ini.
"Bukan mudah untuk buat keputusan ini kerana saya memang sayang FMC dan sudah rapat dengan seluruh tenaga kerja di sana. Namun, atas nasihat rakan-rakan, saya rasa sudah tiba masanya untuk saya mencuba bergerak sendiri dan membuat keputusan sendiri," katanya kepada Harian Metro.






