Kuala Lumpur: Rakyat Malaysia yang menetap di sekitar Paris, Perancis mengelak kawasan tumpuan protes dan mengubah rancangan perjalanan berikutan demonstrasi yang menjejaskan perkhidmatan pengangkutan awam, persekolahan serta aktiviti hujung minggu.

Bagi Ammar Ridzuan, 30, situasi itu mula dirasai pada 17 Oktober lalu ketika dia dalam perjalanan merentasi Paris bersama seorang rakan sebelum beberapa stesen Metro Laluan 9 diumumkan ditutup secara tiba-tiba.

Ammar yang menetap di Meudon berkata, dia terpaksa meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki sebelum mendapati dirinya berada berhampiran kawasan protes yang diketuai pelajar.

Basikal dan skuter diletakkan melintang di jalan bagi menghalang kenderaan polis dari memasuki kawasan berkenaan.