PUTRAJAYA: Pemilik kenderaan kini boleh mendapatkan panduan penjagaan dan penyelenggaraan kereta menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI) yang diperkenalkan dalam aplikasi SCRUT Garage, sekali gus membantu mereka membuat keputusan lebih tepat ketika berurusan dengan pengusaha bengkel bagi mengelak penipuan.
Aplikasi yang dilancarkan syarikat teknologi automotif tempatan, SCRUT itu semalam, membolehkan pengguna mendapatkan nasihat dan cadangan berkaitan penjagaan kenderaan, selain menyimpan rekod penyelenggaraan secara digital.
Pengasas Bersama SCRUT, Nik Muhammad Izwan Nik Mohd Kamel, berkata teknologi AI yang diterapkan dalam aplikasi itu bertujuan membantu pemilik kenderaan memahami keperluan servis dan penyelenggaraan, sekali gus mengurangkan risiko melakukan pembaikan tidak perlu atau menjadi mangsa penipuan ketika mendapatkan perkhidmatan bengkel.






