SEPANG: Dua warga China masing-masing dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memiliki rokok seludup di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jun lalu.

Majistret Suriani Ujang menjatuhkan hukuman itu selepas Zhang Yaojun, 48, dan Zou Xinyi, 40, mengaku bersalah, dan memerintahkan tempoh penjara bermula dari tarikh tangkap, iaitu 26 Jun.

Mahkamah turut mengarahkan Zhang dan Zou membayar duti import masing-masing berjumlah RM9,200 atau dihukum penjara sebulan, jika gagal berbuat demikian.

Zhang didakwa memiliki 149 karton rokok atau bersamaan 29,800 batang rokok yang bernilai RM4,470 dengan taksiran duti import berjumlah RM20,770.60.