Tawau: Seorang wanita yang pernah diberi peluang menjalani khidmat masyarakat bagi kesalahan menawarkan perkhidmatan seks, dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengulangi kesalahan sama.

Tertuduh Nurul Syahfathin Puteri Sofea, 19, mengaku bersalah selepas pertuduhan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menawarkan perkhidmatan seks menerusi aplikasi WhatsApp di sebuah bilik sewa di tingkat dua, Flat Sabindo, Jalan Habib Sheikh, Bandar Sabindo, kira-kira jam 9.30 malam pada 20 Oktober lalu.

Berdasarkan fakta kes, seorang anggota polis yang bertindak sebagai ejen penyamaran berhubung dengan tertuduh menerusi WhatsApp sebelum tertuduh menawarkan perkhidmatan berkenaan dengan bayaran RM150.