KUALA LUMPUR: U Mobile Sdn Bhd dan Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk meneroka penyediaan liputan rangkaian 4G dan 5G di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQC) di Bukit Chagar, Johor Bahru, sebelum pembukaan Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura.

Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua syarikat memaklumkan kerjasama itu bertujuan memastikan kemudahan pintu masuk rentas sempadan berkenaan dilengkapi sambungan mudah alih yang boleh dipercayai apabila RTS Link mula beroperasi, sekali gus meningkatkan keselesaan perjalanan antara Malaysia dengan Singapura.

"Kesambungan mudah alih yang boleh dipercayai di kompleks itu penting bagi memenuhi keperluan perjalanan harian, termasuk mendapatkan maklumat perjalanan, menyelaraskan pengangkutan seterusnya serta terus berhubung dengan keluarga, rakan sekerja dan urusan perniagaan," menurut kenyataan itu.