KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) menyambut baik cadangan pembangunan Laluan MRT3 Circle Line oleh Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), yang dijangka meningkatkan kesalinghubungan kampus universiti itu serta merancakkan pembangunan ekonomi dan akses pengangkutan awam di kawasan sekitarnya.
Kerjasama itu mencerminkan komitmen UM untuk mengintegrasikan pembangunan MRT3 dalam pelan pembangunan kampus jangka panjangnya, sekali gus menyokong pengembangan kemudahan pendidikan, penyelidikan, kesihatan dan kediaman sehingga 2050.
Perjanjian kerjasama berkenaan dimeterai antara Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim, dengan Naib Canselor UM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman, pada Ekspo Pengangkutan Asia (TXA) 2026 di Kuala Lumpur hari ini. Majlis itu disaksikan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.










