KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Kajang di Stesen Bukit Bintang, di sini, mengalami kesesakan susulan peningkatan jumlah penumpang kira-kira jam 8 malam tadi, menurut Rapid KL.
Bagaimanapun, kemas kini pada jam 11 malam tadi menyatakan aliran penumpang di stesen itu sudah kembali normal.
"Pihak kami akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan tanpa memperincikan punca situasi itu berlaku.
Sementara itu, kesesakan berkenaan dipercayai turut memberi kesan besar kepada pengguna di stesen tren lain, termasuk Stesen LRT Bangsar yang menyaksikan ramai penumpang terkandas.
Seorang pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai AJ berkata, beliau terpaksa menunggu hampir satu jam di Stesen LRT Bangsar untuk pulang ke rumah di Meru, Klang.








