KUCHING: Dua jaringan Gabriel Peres pada penghujung perlawanan menyelamatkan Kuching City FC daripada kekalahan apabila mengikat Tampines Rovers FC 2-2 pada aksi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Taha Ariffin, malam ini.

Kuching City yang tampil di hadapan penyokong sendiri tidak pernah berhenti mengasak kubu pasukan Singapura itu namun ketumpulan penyudah menyaksikan beberapa peluang terbaik gagal dimanfaatkan.

Selepas 13 minit perlawanan, Tampines Rovers menghukum kelekaan Kuching City menerusi Naberu Furusawa yang menyudahkan serangan balas untuk meletakkan pelawat di depan.

Memasuki separuh masa kedua, Tampines Rovers mula mengimbangi permainan menerusi penguasaan bola di bahagian tengah, memaksa pengendali Kuching City, Aidil Sharin Sahak melakukan perubahan taktikal.