Kuala Lumpur : Kolej Poly-Tech MARA Sdn. Bhd. (KPTMSB) terus memperkukuh kualiti serta penilaian program akademiknya bagi memastikan graduan dilahirkan bukan sahaja memiliki kelayakan kertas, malah bersedia melangkah ke alam pekerjaan dengan kemahiran praktikal tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif KPTMSB, Radzuan Razali berkata, pembabitan Panel Penilai Luar (PPL) yang terdiri daripada ahli akademik dan wakil industri amat penting dalam menilai semula kandungan kurikulum, kaedah pengajaran serta pencapaian pembelajaran pelajar secara berkala.

"Kualiti memerlukan kesediaan untuk mendengar, keberanian menerima teguran, dan kesungguhan untuk melaksanakan penambahbaikan," katanya pada Majlis KPTM Excellence Partners Appreciation 2026, di sini.