Kuala Lumpur: Impian peminat untuk menyaksikan gabungan tiga penyanyi ikonik Indonesia iaitu Kris Dayanti, Ruth Sahanaya dan Titi DJ di atas satu pentas tidak kesampaian apabila Konsert 3Diva secara rasminya dibatalkan.
Penganjur konsert, T-Rex Studio Sdn Bhd memaklumkan keputusan sukar membabitkan persembahan yang sepatutnya berlangsung di Unifi Arena pada 22 November ini terpaksa diambil selepas mengambil kira pelbagai faktor, biarpun persediaan awal sudah dilaksanakan.
"Pihak T-Rex Studio memohon maaf kepada semua peminat, pemegang tiket, rakan penaja serta rakan media atas segala kesulitan dan kekecewaan yang timbul susulan pembatalan ini.
"Kami amat menghargai kepercayaan dan sokongan yang telah diberikan oleh semua pihak sepanjang usaha menjayakan konsert ini," kata penganjur menerusi satu kenyataan rasmi, hari ini di Instagram rasmi mereka.








