KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG) memeterai kemudahan pembiayaan perdagangan berstruktur bernilai AS$75 juta (kira-kira RM306 juta) bersama Citi bagi menyokong strategi rantaian bekalan dan keperluan operasi syarikat penerbangan itu di seluruh Asia.
Kemudahan itu menghubungkan pembekal strategik di Malaysia, Singapura dan China menerusi satu rangka kerja pembiayaan bersepadu yang bertujuan meningkatkan pengurusan modal kerja, memperkukuh kecairan serta meningkatkan daya tahan rantaian bekalan.
MAG dalam kenyataannya berkata, kemudahan berkenaan turut menyediakan kepastian dan fleksibiliti lebih besar kepada pembekal strategik yang beroperasi merentasi pelbagai pasaran.
Pemangku Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan MAG, Muhammad Najmi Mansor, berkata kemudahan pembiayaan berstruktur itu dijangka meningkatkan penyelesaian pembayaran rentas sempadan sedia ada kumpulan.








